Ipoh- “Kami sekeluarga berasa selamat dan gembira bercuti di Lost World Of Tambun (LWOT). Tiada perasaan ragu-ragu terhadap perlaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) di sini ,” ujar Rania Elmuzayen, 41, salah seorang pelancongan asing yang menetap di Kuala Lumpur.

Rania Elmuzayen, berasal dari Denmark, memilih taman tema air LWOT untuk kembali bercuti bersama keluarga kerana keindahan alam semujadi yang tenang selain dari pelbagai aktiviti kekeluargaan banyak dilakukan di sini.

“Ini kali kedua saya berkunjung ke bandar raya Ipoh khususnya LWOT . Sebelum saya membuat keputusan bercuti ke sini, saya sangat menitik beratkan keselamatan kami sekeluarga terutamanya sewaktu norma baharu sekarang.

“SOP yang dilaksanakan oleh LWOT sememangnya sangat ketat dan mereka sentiasa memantau aktiviti pengunjung agar mematuhi SOP yang ditetapkan. Ya, kami selesa dan berasa selamat serta gembira beriadah di sini,” katanya yang ditemani oleh suaminya Ziad Elmuzayen, 48 serta tiga orang anak yang bercuti di Ipoh selama tiga hari.

Sementara itu, Pengurus Besar Lost World Of Tambun, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata sempena pembukaan semula LWOT hari ini telah memberi harapan baharu kepada perkembangan sektor pelancongan yang selama ini tergendala akibat pandemik COVID-19.

“Pihak pengurusan LWOT akan memastikan pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menjamin keselamatan pengunjung kami.

“Sememangnya kami mahukan para pengunjung ke taman tema ini sentiasa berperasaan ‘play and stay with confident’. Kesemua kakitangan kami sudah menerima dua dos vaksinasi COVID-19.

“Kita akan memastikan semua kawasan taman tema ini dilakukan sanitasi atau nyahkuman malah kami menggandakan aktivti sanitasi lebih dari yang ditetapkan oleh MKN,” katanya kepada Peraktastic di sini, hari ini.

Menurut Nurul Nuzairi lagi, memandangkan LWOT mempunyai 44 ekar kawasan terbuka, sudah pasti ia sesuai oleh pengunjung beriadah dan lebih menjamin keselamatan. Oleh itu, pelbagai promosi dilaksanakan seperti LWOT Glamping bersama pakage-pakage aktiviti yang di luar jangkaan dan menyeronokkan.

“Jumlah kapasiti pengunjung yang dibenarkan oleh KKM adalah seramai 18,500 iaitu 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pengunjung dalam sehari. Kami hanya menerima pengunjung yang telah lengkap dua dos vaksinasi COVID-19.

“Kami mengharapkan para pengunjung dapat mengamalkan SOP dengan baikdan bersiplin. Sekiranya ditegur oleh petugas LWOT berhubung jarak sosial atau apa sahaja berkaitan SOP janganlah berkecil hati. Apa yang kami lakukan adalah untuk keselamatan semua pengunjung dan pulang dengan selamat,” katanya.

Untuk keterangan lanjut mengenai promosi dan tempahan tiket bolehlah melayari laman rasmi LWOT https://sunwaylostworldoftambun.com/.