Masjid Lama Kampung Kuala Dal mereput, terbiar: Kerajaan negeri minta MPKK, Jabatan Warisan pantau
- Details
- Saloma
- Pelancongan
- Hits: 762
IPOH: Kerajaan negeri telah meminta Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan Jabatan Warisan Negara memantau serta melihat semula keadaan Masjid Lama Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Kuala Kangsar.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata pihaknya memandang serius berhubung isu masjid berusia 90 tahun itu, yang dikatakan semakin mereput dan terbiar tanpa penjagaan.
"Ini sebenarnya isu yang kita hadapi dengan Jabatan Warisan, di mana sesetengah aset itu diletakkan di bawah jagaan jabatan itu dan bukan kerajaan negeri.
"Bagaimanapun, ia tidak menghentikan kerjasama di antara kedua-dua pihak. InsyaAllah saya sudah minta MPKK untuk melihat sama ada boleh bantu Jabatan Warisan untuk betulkan keadaan di situ.
"Setakat ini memang Jabatan Warisan diminta untuk pantau semula, lihat kerja yang perlu dilakukan.
"Kerana kerja baik pulih hanya boleh dilakukan oleh pakar yang arif tentang seni bina warisan bangunan masjid itu,"katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program townhall discussion 'Ke Arah Pelancongan Selamat Negeri Perak' serta pelancaran Unit Polis Pelancong Perak, di sini pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan situasi dan pemandangan terkini masjid yang sarat dengan seni bina tradisional dan unik ini kelihatan tidak begitu terurus.
Malah ada beberapa bahagian binaan itu mulai mereput khususnya di dinding dan kayu.
Kunjungan Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee di masjid yang hampir menjengah usia 90 tahun mendapati beberapa strukturnya mulai kusam dan terbiar mereput, seolah-olah tiada pemantauan di situ.
Mengimbas serba sedikit mengenai sejarah masjid ini, ia terletak di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, kira-kira 4.8 kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar.
Keunikan masjid ini dapat dilihat menerusi reka bentuk binaannya yang menyerupai sangkar burung, selain itu dinding masjid dua tingkat ini dibuat daripada buluh minyak yang dianyam, iaitu 'dinding tepas/tepus'.
Masjid ini dibina pada tahun 1936 dan dibiayai oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak ke-30. Papan plak perasmian di masjid ini mencatatkan perasmian berlangsung pada 11 Februari 1938.
Masjid ini tidak lagi digunakan pada tahun 1976, setelah masjid baharu iaitu Masjid Al-Wahidiah dibina.
Jabatan Warisan Negara telah menjalankan kerja-kerja konservasi pada Disember tahun 2008, menerusi portal rasminya mereka memberitahu antara masalah yang dihadapi bagi projek ini ialah penyediaan dinding tepas.