Villa Terapung, inspirasi pencinta alam semula jadi!
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Pelancongan
- Hits: 667
Mungkin kita tidak menyedari di sebalik hiruk-pikuk bandaraya Ipoh, tersembunyi sebuah penginapan mewah, ekslusif dan privasi.
Peluang menginap di Chief’s Villa Floating Chalet, Lost World Of Tambun (LWOT) seumpama sebuah syurga belantara dikelilingi tasik memberi pelbagai inspirasi.
Keterujaan semakin ketara, apabila melihat ribuan ikan di dalam tasik berenang ke arah kami seolah-olah mengucapkan selamat datang.
Di sinilah pilihan tepat untuk bersahabat dengan alam semula jadi dan menyelami rahsia alam semesta.
Kedudukan villa berhadapan dengan ‘Needle of Tambun’ iaitu sebuah monumen semula jadi yang terbentuk dalam gugusan perbukitan Geotapak Gunung Datok, memperosonakan pandangan mata.
Mohamad Albana, 42, pelancong dari Dubai berkata percutiannya di LWOT dan menginap di Floating Villa memberi satu pengalaman yang tidak akan dilupakan.
“LWOT satu lokasi percutian menarik dan berbeza. Selain keindahan alam semula jadi yang tiada pencemaran ia juga menawarkan pelbagai aktiviti sekeluarga.
“Keterujaan saya melihat kehijauan alam semulajadi seperti ketenangan air tasik, kesegaran flora-flora dan keunikan bukit batu kapur membuatkan saya berkongsi pengalaman di media sosial setiap hari.
“Aktiviti seperti Zip Line, Kayak Mania, Boga Cruise dan Stand Up Padding menarik perhatian saya dan ia sangat menyeronokkan.
“Memberi makan kepada ribuan ikan-ikan di tasik ini belum pernah saya rasai selama ini. Begitu juga berkayak sehingga ke penghujung tasik satu pengalaman yang luar biasa.
“Menginap semalam di villa ini tidak mencukupi kerana kenikmatan suasana siang dan malam adalah berbeza. Tiada perkataan untuk digambarkan kecuali anda sendiri merasai pengalaman ini,” katanya.
Seorang pengunjung tempatan, Nurul Sarah Hijazi, 38, berkata aktiviti BBQ bersama keluarga di atas villa juga tidak kurang menarik.
“Menikmati minum petang dan makan malam secara BBQ di tingkat atas villa ini, satu pengalaman baharu bagi saya.
“Saya teruja dengan suasana senja yang damai terutamanya di sebelah malam apabila melihat taburan bintang-bintang dilangit yang disulami irama malam, sangat romantis dan menyentuh naluri,” katanya.
Tidak kurang juga menarik, jika ingin bermalam di glamping di sekeliling tasik ini. Walaupun harga dikenakan tinggi sedikit tetapi ia berbaloi kerana keselesaan dan kemudahan glamping seperti berada di dalam bilik hotel.
Keseronokkan percutian di LWOT bukan terhenti di sini sahaja, pelbagai aktiviti sebelah malam semestinya anda ikuti dan rasai.
Sebagai tetamu istimewa di Villa Terapung ini, anda dilayan seperti seorang raja, hubungi sahaja kemana anda mahu pergi, pasti permintaan anda ditunaikan segera.
Lost World Hot Springs & Spa
Bercuti ke LWOT sekiranya tidak mandi ke kolam air panasnya adalah satu kerugian dan tidak sempurna.
Kolam Air Panas di sini mengalir dari sumber alam semula jadi yang bermanfaat untuk kesihatan dan kesegaran tubuh. Selain membantu meredakan ketegangan otot, mengurangi stres ia juga meningkatkan sirkulasi darah.
Foot Spa ialah kolam kerikil refleksologi juga baik untuk kesihatan. Berjalan di sepanjang laluan air panas ini dikatakan boleh merawat pelbagai penyakit dan membersihkan badan daripada toksin. Ia juga merangsang pengeluaran endorphin, yang membawa kepada kekuatan sistem imunisasi.
Flaming Percussion Show
Inilah tarikan utama pengunjung ke LWOT di sebelah malam. Pelbagai aksi hebat dan mencemaskan dapat disaksikan.
Persembahan menakjubkan ini diadakan di Monkey Valley. Ia berlangsung selama 30 minit. Aksi menelan api antara yang mencemaskan selain fire rain yang memukau.
Luminous Forest
Luminous Forest merupakan aktiviti bagi mereka yang ingin merasai berada di alam misteri dan mistik, serta mengenali suku kaum Malayana.
Menyeberangi Jambatan Luminosa, anda disajikan keindahan dari bunga-bunga yang bersinar memberikan pengalaman luar biasa.
Hutan Luminous dibuka setiap hari mulai pukul 8.00 malam hingga 10.00 malam.
Petting Zoo
Melewati petting zoo di sebelah malam paling menyeronokan. Selain faktor cuaca yang sejuk sambil bermain dengan binatang-binatang jinak. Berswafoto dengan ular sawa satu pengalaman yang sukar dilupakan.
Selain itu, aktiviti memasuki rumah hantu satu pengalaman yang menyeramkan. Perasaan seram pasti wujud sepanjang berada di dalam rumah hantu.
Menjamu selera di Ipoh Street setelah penat beraktiviti, satu kemestian. Pelbagai makanan menyelerakan seperti Ipoh Cakoi, Pisang Goreng dan Ipoh Dim Sum harus dicuba.
Ipoh Mee Kari, Wanton Mee dan Nasi Ayam Taugeh antara menu yang disukai ramai dan harus dicuba.
Percutian yang singkat di LWOT sememangnya tidak mencukupi. Banyak lagi aktiviti yang harus diterokai.
Sememangnya LWOT satu-satunya lokasi percutian yang bukan sahaja menjanjikan keseronokan tetapi kemesraan dan layanan petugas-petugasnya membuatkan anda rindu untuk kembali bercuti di sini!- PERAKTASTIC-