IPOH- Pengumuman enam negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memberi kesan kepada penggiat industri pelancongan di negeri Perak

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata ianya merupakan satu cabaran yang berat yang harus diterima secara positif oleh penggiat industri pelancongan negeri ini.

“Negeri Selangor dan Pulau Pinang antara enam negeri yang menyumbangkan ramai pelancong-pelancong domestik untuk berkunjung ke negeri Perak.

“Semestinya negeri Perak juga terkesan walaupun dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ini kerana kunjungan pelancongan dari luar sempadan negeri semakin berkurangan sekaligus melemahkan ekonomi setempat.

“Saya berharap pelancong-pelancong dalam negeri ini masih boleh menjalankan aktiviti kekeluargaan untuk bercuti namun harus mengikut SOP yang ditetapkan. Hanya pengunjung dalam negeri yang dapat memberi sokongan bagi membantu menaikkan semula ekonomi yang semakin tenat”,katanya pada media ketika ditemubual di majlis makan malam sempena menyambut hari lahir beliau di kafe Laman Manjoi semalam.

Semalam Perdana Menteri mengumumkan PKP membabitkan tiga peringkat pelaksanaan iaitu ke atas enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Kedua, PKP Bersyarat (PKPB) ke atas enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Manakala, ketiga, PKP Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak. Tempuh arahan tersebut berkuatkuasa bermula 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021.

Menurutnya, keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan semestinya mempunyai kepentingan dimana rakyat perlu didahulukan terutamanya dari segi keselamatan dan kesihatan.

“Kerajaan negeri akan cuba membantu dengan melihat semula pakage rangsangan ekonomi dan sebarang bentuk bantuan akan disalurkan mengikut kemampuan kewangan negeri.

“Untuk menaikkan semula ekonomi dalam apa sahaja sektor, rakyat haruslah memberi kerjasama yang terbaik yang bukan sahaja dengan pihak kerajaan negeri masalah semua agensi termasuklah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), NGO dan lain-lain dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan supaya rantaian Covid-19 ini berjaya diputuskan.