Selamatkan Hotel Bajet Sebelum Gulung Tikar!
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Pelancongan
- Hits: 824
IPOH- Krisis pandemik Covid-19 terus mengancam pelbagai sektor terutamanya industri perhotelan bajet yang ada diantaranya menunggu masa untuk ‘gulung tikar’.
Kenyataan ini diperakui sendiri oleh Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Perak, Zamari Muhyi ketika dihubungi berkata semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan tahun lalu, pengusaha hotel bajet merekodkan sifar pendapatan dan kesan ini amat membimbangkan.
“Sekiranya fenomena ini berterusan tidak mustahil pengusaha hotel bajet akan menanggung bebanan hutang yang tinggi dan seterusnya akan tutup kedai kerana sudah tidak mampu untuk menampung kos operasi, utiliti dan gaji kakitangan.
“Terdapat 118 hotel bajet di negeri Perak dan hanya 78 daripadanya berdaftar bersama MyBHA. Walaupun industri hotel boleh beroperasi dengan perlaksaan SOP yang ketat, namun dalam tempoh ini untuk menerima satu tempahan amatlah sukar meskipun harga sewaan dikenakan rendah.
“Paling mencemaskan permohonan Program Subsidi Upah 2.0 (PSU 2.0) masih belum lagi diterima oleh pengusaha bagi bulan Oktober, November & Disember 2020. Sekiranya permohonan ini dipercepatkan pasti akan melonggarkan serba sendiri kekangan yang dihadapi”, katanya.
Menurut Zamari Muhyi merangkap Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Perak (PPPBP), beliau turut menyarankan kepada kerajaan negeri untuk menambah insentif upah kakitangan pemain industri dari RM600 ke RM1000 seorang selama enam bulan.
Katanya, kerajaan pusat harus mempertimbangkan pemberian diskaun sehingga 50 peratus bagi penggunaan tenaga elektrik dan air sehingga september 2021 serta pengurangan cukai taksiran oleh pihak berkuasa tempatan.
“Saya berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan cadangan kini dan saya sedia untuk berkerjasama bagi bersama-sama mencari kaedah terbaik sebelum ianya terlambat”, katanya.