18 Geotapak, Geopark Lembah Kinta Terpelihara Dengan Baik
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Pelancongan
- Hits: 2588
IPOH, 10 Feb 2021- Kesemua 18 lokasi Geotapak, Geopark Lembah Kinta tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pengkuarian. malah terpelihara dengan baik.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata Geopark Lembah Kinta merupakan salah satu produk pelancongan yang unik dan baharu yang melibatkan keluasan 1.952 hektar merangkumi daerah Kinta dan Kampar.
“Daripada keluasan tersebut sebanyak 18 lokasi geotapak telah diiktiraf oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan ianya akan terus dipelihara selagi ianya menjadi tarikan pelancong di negeri ini.
“Aspek keselamatan menjadi salah satu elemen yang dititikberatkan oleh Kerajaan Negeri supaya pelancong berasa selamat apabila berkunjung kesemua lokasi geotapak
“Kerajaan Negeri Perak juga mempertanggungjawabkan Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk) sebagai penyelaras bagi tujuan pelaksanaan dan pemantauan program Geopark Lembah Kinta”, katanya dalAm sidang media yang berlangsung secara ‘on line’, hari ini.
Senarai 18 Geotapak, Geopark Lembah Kinta itu ialah Gunung Panjang; Gua Tambun; Gunung Datok; Gunung Rapat (sebahagiannya adalah geotapak seperti Kek Lok Tong, Sam Poh Tong dan sebagainya); Lata Ulu Chepor ; Gunung Kanthan; Gunung Lang; Hutan Lipur Ulu Kinta; Gunung Tasek; Mata Air Panas Lubuk Timah; Gua Naga Mas; Air Terjun Sungai Chelik; Jeram Papan; Gua Kandu; Gua Tempurung; Jeram Sungai Kampar; Air Terjun Sungai Salu; Air Terjun Batu Berangkai dan Gunung Korbu.
Hadir sama Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains, Dato’ Ahmad Zukni Ahmad Khalil.
Nolee Ashilin membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Sinar Harian edisi Jumaat, 5 Februari 2021 hingga Ahad 7 Februari 2021 yang membangkitkan isu mengenai aktiviti pengkuarian di 30 lokasi gua batu kapur di Lembah Kinta. Walau bagaimanapun, 30 lokasi gua batu kapur tersebut tidak disenaraikan sebagai geotapak bagi Geopark Lembah Kinta.
Menurutnya kerajaan negeri menitikberatkan aspek pemulihan kuari di mana pihak kerajaan telah menggubal Dasar Mineral Negeri Perak dengan menumpukan elemen pemulihan.
“Tidak seperti geopark lain yang terletak di kawasan alam semulajadi yang jauh dari zon pembangunan. Ianya merupakan cabaran kepada Kerajaan Negeri untuk memelihara produk berteraskan alam semulajadi ini di tengah bandar yang mempunyai kepelbagaian aktiviti ekonomi.
“Pembangunan yang dirancang akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan pencemaran pemandangan di lokasi geotapak kesan daripada pembangunan yang ekstrem”, katanya.
Sementara itu Dato’ Ahmad Zukni berkata kerajaaan negeri dan jabatannya akan memastikan kerja-kerja pemulihan segera dilakukan oleh pihak pengusaha terhadap semua kawasan yang terlibat dalam aktiviti pengkuarian.
“Walaupun sektor berkenaan diteruskan tetapi ianya tetap dipelihara dan dipulihara demi memastikan kelastarian dan eco sistem alamselajadi dapat dikembalikan semula walaupun ianya mengambil masa lama pulih sepenuhnya’, katanya- Peraktastic.