Zootastic Escape LWOT Dibuka Semula!
- Details
- Pelancongan
- Hits: 862
IPOH - Berita baik bagi pencinta haiwan, Zootastic Escape yang terletak di taman tema air terkemuka Lost World of Tambun (LWOT) telah dibuka semula untuk pengunjung!
Bagaimanapun hanya sebahagian daripada Zootastic Escape yang beroperasi iaitu Petting Zoo, Giraffe & Friends, Hippo Kingdom, Bird Paradise dan Tiger Valley.
Bagi pengunjung yang ingin melihat haiwan tersebut secara dekat, mereka boleh merasai sendiri pengalaman memberi makan 'Lou Sang' hanya dengan harga RM18.
Aktiviti 'Lou Sang' ini adalah sebahagian daripada program LWOT bersempena perayaan Tahun Baru Cina.
Selain itu, jika pengunjung ingin menjamu selera, boleh singgah ke Dulang Tea House bagi merasai roti tumbuk, biskut lutut, roti bakar serta kari ayam atau Masina's Lakeside Terrace untuk menikmati mee kari, Hotdog 1901, cendol dan ais kacang.
Sementara itu, Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kapasiti pengunjung yang dibenarkan hanya 50 peratus sahaja.
Menurutnya, taman tema air tersebut mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat sepertimana yang telah ditetapkan kerajaan.
"Kakitangan kami akan memeriksa suhu badan memastikan pengunjung memakai pelitup muka sepanjang berada di sini.
"Selain itu, kita turut menyediakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) di sekitar taman tema air ini.
"Kita juga akan memastikan setiap kawasan disanitasi termasuk kerusi dan meja yang digunakan selepas pengunjung meninggalkan kawasan yang dilawati," katanya.
INFO
Lost World of Tambun
Lokasi : 1, Persiaran Lagun Sunway, Sunway City, 31150 Ipoh, Perak
Masa Operasi : 11 pagi sehingga 6 petang setiap hari kecuali Selasa (masa operasi sepanjang PKPB)
Harga Tiket :
Pemegang MyKad RM39 (Dewasa), RM32 (Kanak-kanak/Warga Emas)
Bukan Pemegang MyKad RM59 (Dewasa), RM49 (Kanak-kanak/Warga Emas)