IPOH : Gua Matsoorat bakal menjadi geotapak ke-19 dalam Geopark Lembah Kinta dan produk pelancongan negeri Perak yang baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata sasaran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjadikan Gua Matsoorat sebagai geotapak yang ke-19 di dalam Geopark Lembah Kinta merupakan langkah bijak dan bertepatan.

“Gua Matsoorat terletak berhampiran Gunung Lang merupakan lanskap batu kapur semulajadi yang strategik untuk aktiviti geo-pelancongan selain berupaya menjadi tapak kajian geologi.

“Kerajaan negeri menyambut baik usaha untuk menjadikan Gua Matsoorat sebagai geotapak dan produk pelancongan. Namun, aspek keselamatan perlu dipandang serius sepertimana yang telah dilakukan oleh  Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak di Gua Matsoorat dalam mengenal pasti  pemetaan, pencirian dan penarafan serta kajian keselamatan bukit batu kapur.

“Beberapa sumber arkeologi telah ditemui seperti lukisan purba dan peninggalan fosil yang boleh dijadikan sebagai tarikan pelancongan di gua ini. Agensi yang terlibat akan membuat kajian lanjutan seperti pentarikhan dan konservasi bagi melindungi serta menilai artifak sejarah ini ”, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

18 geotapak yang tersenarai di Geopark Lembah Kinta ketika ini adalah Gunung Panjang Gua Tambun, Gunung Datok, Gunung Rapat yang sebahagiannya adalah geotapak seperti Kek Lok Tong dan Sam Poh Tong, Lata Ulu Chepor, Gunung Kanthan, Gunung Lang, Hutan Lipur Ulu Kinta, Gunung Tasek, Mata Air Panas Lubuk Timah, Gua Naga Mas, Air Terjun Sungai Chelik, Jeram Papan, Gua Kandu, Gua Tempurung, jeram Sungai Kampar, Air Terjun Sungai Salu, Air Terjun Batu Berangkai dan Gunung Korbu.