Taiping- Majllis Pembandaran Taiping (MPT) menyusun pelbagai program sempena Ulang Tahun Jubli Intan ke-60, Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) yang bermula semalam.

Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Taiping, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata ZTNS atau Taman Mergastua Sultan Idris Shah ditubuhkan pada 1961 oleh ahli-ahli Lembaga Pengurusan Kerajaan Tempatan Taiping. Ianya telah dirasmikan  pada 7 Mac 1964 oleh DYMM Sultan Idris Shah.

“Sebagai memperingati Ulang Tahun Ke-60 tahun  ZTNS, MPT telah memilih tarikh 7 Mac 2021 sebagai tarikh yang bagi sambutan Jubli Intan ini.  

“Zoo ini pada asalnya hanya berkeluasan 10 ekar, berbanding 36 ekar sekarang ekoran penambahan jumlah spesis dan jumlah haiwan serta bagi menjayakan pelaksanaan pameran berkonsep kandang terbuka sehinggalah kini diiktiraf sebagai  produk pelancongan bertaraf dunia.”, katanya dalam ucapannya sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Intan ke-60,di ZTNS, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Bersempena ulang tahun itu, ZTNS menawarkan tiket masuk percuma kepada pengunjung berusia 60 tahun pada tahun 2021.  Tawaran ini akan bermula pada 7 Mac 2021 sehingga 31 Disember 2021.

Antara program-program yang akan dilaksanakan ialah sambutan Hari Harimau Sedunia pada 31 Julai 2021 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kempen ‘Selamatkan Harimau Kita.’

Program ZOORAMA yang merupakan program tahunan akan berlangsung pada 11 sehingga 18 September 2021 dengan pelbagai pengisian menarik yang boleh disertai oleh pengunjung.

Menurut Khairul Amir, ZTNS akan mengeluarkan cenderamata khas seperti Kemeja-T khas 60 Tahun Zoo Taiping, topi, pelitup muka serta mug.

“Untuk mengetahui maklumat lanjut berhubung semua program, orang ramai  bolehlah melayari  Laman Web MPT, Facebook Zoo Taiping  dan Facebook MPT serta Instagram MPT”, katanya.