PUTRAJAYA - Sebanyak 174 rumah ibadat bukan Islam diluluskan untuk beroperasi semula pada 10 Jun ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Ibadat Dalam Zon Hijau.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan berkata, permohonan yang diluluskan adalah mengikut ketetapan yang digariskan dalam SOP.

Antaranya seperti bilangan kehadiran maksimum 30 orang serta tertakluk kepada saiz keluasan rumah ibadat.

Kelulusan untuk rumah-rumah ibadat berkenaan beroperasi dibuat dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 21 Mei lepas.

"Kementerian ingin mengingatkan bahawa hanya rumah ibadat yang telah mendapat kelulusan mengikut hari dan masa beroperasi akan dibenarkan bermula pada 10 Jun 2020," kata kenyataan itu.

Antara rumah ibadat di bawah badan agama berkenaan ialah Fo Guang Shan, Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur, National Evangelical Christian Fellowship Malaysia, Malaysia Hindu Sangam, Majlis Gurdwara Malaysia dan Persekutuan Pertubuhan Tao Malaysia.

Menurut kenyataan itu, pembukaan rumah ibadat yang lain perlu dipohon melalui badan agama masing-masing dan seterusnya dikemukakan kepada Kementerian Perpaduan Negara mengikut prosedur yang ditetapkan selepas 10 Jun. 

Bagaimanapun, urusan perkahwinan di kuil, gereja dan persatuan agama ditangguhkan hingga 31 Julai ini.