PUTRAJAYA - Syarat vaksinasi lengkap pada individu dikekalkan bagi semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk akses pada kebenaran dan semua kemudahan sepertimana diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sebelum ini, MKN menetapkan kebenaran dan kemudahan bagi individu lengkap vaksin termasuk 'dine-in', melancong, aktiviti rentas daerah dan negeri, sukan dan rekreasi, aktiviti kreatif dan hiburan, kegamaan dan majlis rasmi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini di mana ketetapan terbaharu itu dibuat selepas mengambil perkembangan terkini peralihan fasa PPN mengikut negeri-negeri.

Menurut beliau, keputusan itu penting bagi memastikan keselamatan rakyat, mengukuhkan sistem kesihatan awam, melancarkan pembukaan semula ekonomi dan memastikan usaha kerajaan untuk memulakan proses peralihan ke fasa endemik dilakukan dengan selamat.

“Ia juga berikutan situasi dominasi varian Delta (94.9 peratus) dalam kalangan varian-varian baharu Covid-19 yang dikesan di dalam negara.

“Sehubungan itu, perincian mengenai SOP fasa pemulihan negara akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Khairy, PPN ada satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains bagi membolehkan semua rakyat kembali kepada kehidupan harian biasa.

"Oleh sebab itu, pada 8 Ogos dan 15 Ogos lalu, kerajaan telah mengumumkan kemudahan-kemudahan sektor sosial dan ekonomi hanya bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap," katanya.

Seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai lengkap vaksinasinya apabila melepasi tempoh matang selepas suntikan dos kedua.

Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.

Manakala, bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.