KUALA LUMPUR – Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sistem penggiliran persekolahan berjalan dengan baik walaupun tidak sempurna sepenuhnya memandangkan ia masih lagi baharu dilaksanakan.

Kata beliau, ketika ini para guru sedang membiasakan diri dengan pendekatan yang baharu dan berjalan dengan baik.

"Secara umumnya kaedah ini telah dapat berjalan dengan baik. Kita harap dengan kemasukan murid secara berperingkat-peringkat ini guru-guru akan lebih selesa sebelum kumpulan yang lebih ramai kembali ke sekolah.

“Dari segi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) secara penggiliran pula ia adalah bagi pembelajaran berterusan bersama dengan guru mengikuti pembelajaran mereka walaupun bukan setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian semasa melawat ke Sekolah kebangsaan (SK) Tengku Zainun di Tampin, Negeri Sembilan hari ini.

Menurutnya, hasrat KPM adalah bagi melihat murid kembali semula ke sekolah terlebih dahulu bagi tujuan pembelajaran.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan belum menetapkan sebarang standard tentang jenis pelitup muka yang digunakan murid untuk ke sekolah.

Radzi berkata, murid boleh memakai apa sahaja jenis pelitup muka yang sesuai untuk ke sekolah.

“Pelitup muka tak diseragamkan, murid boleh pakai pelitup muka yang sesuai ke sekolah.

“Malah, KPM juga ada menyediakan sedikit pelitup muka di sekolah untuk guru-guru membantu murid memerlukan,” katanya.