KUALA LUMPUR - Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 akan bermula pada 2 Januari hingga 20 Mac 2022 bagi sekolah di negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Manakala sesi persekolahan bagi negeri di Kumpulan B pula adalah pada 3 Januari hingga 20 Mac 2022.

Ia melibatkan Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya).

Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan perkara tersebut dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

"Kalendar Akademik Sesi 2022/2023 akan bermula pada 21 Mac 2022 hingga 11 Mac 2023 bagi sekolah di negeri Kumpulan A dan pada 21 Mac 2022 hingga 12 Mac 2023 bagi sekolah di negeri Kumpulan B," kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 dan Kalendar Akademik Sesi 2022/2023 boleh dimuat turun melalui laman web www.moe.gov.my/takwim bermula hari ini.

Sebelum ini, bermula Ahad dan Isnin depan pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM di Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah mengikut ketetapan pengoperasian Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan bermula.

Di Kedah, pengoperasian itu bermula pada 21 November manakala Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah pula pada 22 November.

Pengoperasian tersebut melibatkan kehadiran murid Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah rendah serta kelas peralihan dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di sekolah menengah.