PUTRAJAYA – Sebanyak 572 kertas siasatan membabitkan penipuan penjualan pelitup muka disiasat membabitkan kerugian dianggarkan sebanyak RM5.5 juta.

Kebanyakan kes penipuan ini melibatkan urusan jual beli melalui platform Facebook dan WhatsApp.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan aduan yang diterima sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga semalam.

Menurutnya, kes tertinggi adalah di Selangor iaitu sebanyak 122 diikuti Johor (68) dan Pulau Pinang (68). 

“Daripada jumlah ini, polis telah menangkap 181 individu dan 53 individu lagi telah pun dituduh di mahkamah.

“Justeru, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati apabila membuat pembelian melalui platform atas talian. Elakkan berurusan di laman sesawang yang mencurigakan dan semak ulasan serta komen daripada pembeli lain. Jangan terpedaya dengan tawaran murah,” ujar beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak 266 kertas siasatan telah dibuka oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan Covid-19. 

Daripada jumlah ini, sebanyak 179 masih dalam siasatan, manakala 30 kes telah didakwa di mahkamah.

Manakala, sebanyak 11 lagi diberikan notis amaran dan 18 telah mengaku bersalah.