PUTRAJAYA – Ketegasan pihak berkuasa melaksanakan larangan rentas negeri menyaksikan sebanyak 37 kenderaan telah di arah patah balik atas cubaan rentas negeri tanpa kebenaran semalam.

Antara negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri yang tertinggi adalah Melaka iaitu sebanyak 16 kes diikuti Negeri Sembilan (sembilan) dan Pahang (lapan).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan memberitahu, sebanyak 277,002 kenderaan diperiksa melalui 133 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara.

Katanya, seramai 67 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana 66 direman manakala seorang individu dijamin polis.

“Polis turut mengeluarkan kompaun kepada 144 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB. Tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri.

“Justeru, semua pihak diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan tersebut.