IPOH - Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini mengesahkan hanya pelajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar sahaja dikesan positif Covid-19.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, pihaknya hanya menerima laporan kes jangkitan wabak itu di Perak sahaja setakat ini dan tiada sebarang laporan membabitkan lain-lain MRSM di seluruh Malaysia.

“Di Perak terdapat 20 orang pelajar yang masih dalam pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah yang masih ditempatkan di asrama maktab tersebut manakala yang lainnya sudah pun dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis Pelancaran Program Canggih Go dan perasmikan pembukaan outlet jenama itu di Perak, pada Jumaat.

Azizah turut menasihatkan agar para pelajar MRSM mematuhi Standard Operation Prosedur (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun sudah menerima vaksin lengkap.

Tegasnya, pelajar-pelajar MRSM perlu mempertingkatkan penjagaan SOP dengan memastikan kesihatan mereka dalam keadaan baik apabila berada di rumah

Ini kerana katanya, ianya amat penting supaya tiada kes jangkita semula apabila hendak kembali ke sekolah semula.

“Kita harus memastikan pematuhan SOP pada tahap yang tertinggi diperkenalkan supaya perkara seperti ini dapat dikurangkan.

“Walaupun agak mustahil untuk menghilangkan terus penyakit akibat wabak ini namun kita usahakan yang terbaik,”tegas beliau.

Sementara itu, katanya masih terdapat tenaga pengajar di MRSM yang belum menerima suntikan vaksin, namun bilangannya kecil.

Jelasnya, guru-guru yang tidak divaksin ini bukanlah disebabkan enggan mahupun menolak vaksin, tetapi ia lebih kepada faktor kesihatan.