PUTRAJAYA  – Polis menerima kereta peronda baharu apabila sebanyak 30 buah kenderaan jenis Honda Civic 1.8 diserahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Majlis penyerahan kenderaan disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

KDN memaklumkan, peruntukan mengurus tahun 2020 telah diluluskan untuk membuat sewaan kenderaan peronda polis (MPV) secara konsesi dengan syarikat Spanco Sdn. Bhd. selama lima tahun.

Pembekalan baki kesemua 425 buah MPV dijadualkan selesai pada minggu ketiga Julai tahun ini.

“Kesemua kenderaan akan dilengkapi dengan peralatan sokongan seperti peralatan komunikasi RMPNet, MPV Kit dan peti simpanan serta dua unit Dashcam dan Mobile DVR.

“Selain itu, polis juga akan menerima kenderaan baru bagi menggantikan kenderaan sedia ada meliputi 197 buah SUV Proton X70 1.8 dan (653) Honda Civic 1.8 secara berperingkat mulai Julai ini,” kata kenyataan tersebut.

Pembekalan kenderaan peronda baharu yang dilengkapi dengan teknologi terkini itu akan dapat meningkatkan lagi kecekapan polis dalam melaksanakan tugas.