KUALA LUMPUR - Industri penerbangan negara dijangka kembali rancak berikutan penyertaan sebuah lagi syarikat yang telah menerima Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Memetik sumber media luar, syarikat berkonsepkan penerbangan tambang murah itu telah pun memeterai persetujuan untuk menyewa dua pesawat jenis Airbus A320.

Jika semuanya berjalan lancar dikatakan juga syarikat yang diketuai oleh bekas pengurusan atasan agensi penerbangan udara negara bakal memberi saingan kepada pemain penerbangan sedia ada.

Pada masa sama, sebuah lagi syarikat penerbangan yang menggunakan pesawat jenis enjin turboprop
juga akan dilancarkan setelah menerima lampu hijau bagi penerbangan jarak dekat.

Syarikat penerbangan baharu ini dikatakan bakal mengadakan penerbangan dari Subang, Selangor ke Pulau Pangkor di Perak.

Pada 6 Januari lalu, SKS Airways Sdn Bhd mengumumkan menerima ASL dalam proses akhir untuk memulakan perkhidmatan sulung.

SKS Airways, sebuah anak syarikat SKS Group yang berpangkalan di Johor Bahru merupakan syarikat penerbangan komersial berjadual terbaharu di Malaysia yang diberikan ASL penuh.

ASL penuh diperlukan untuk mengangkut penumpang, mel atau kargo mengikut jadual tetap menggunakan udara antara dua tempat, selagi ia berada dalam sempadan Malaysia.

Lesen itu dikeluarkan kepada pemohon yang emmegang Sijil Pengendali Udara (AOC) sah yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).