Penerima booster paling terlindung dari gelombang Omicron
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Nasional
- Hits: 592
Kuala Lumpur: Pengambilan vaksin dos penggalak (booster) ternyata dapat memberi perlindungan terbaik daripada kematian dan gejala serius COVID-19 dalam menghadapi gelombangn Omicron.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Dr. Noor Hisham Abdullah berkata kumpulan individu yang tidak divaksinasi adalah paling berisiko untuk dijangkiti COVID-19 yang serius dan juga paling berisiko untuk kematian akibat jangkitan COVID-19.
“Kumpulan individu yang telah menerima vaksin COVID 19 dos penggalak adalah paling terlindung merujuk kepada jumlah kes lebih rendah apabila dijangkiti COVID-19 yang serius.
“Kes kematian juga lebih rendah di kalangan penerima dos penggalak berbanding kumpulan yang tidak divaksinasi dan kumpulan yang lengkap divaksinasi tetapi belum menerima dos penggalak.
“Oleh itu KKM ingin menyeru semua individu dewasa yang berkelayakan namun belum menerima vaksin dos penggalak (booster) untuk segera mendapatkannya dari pusat pemberian vaksin (PPV) yang terdekat secara walk-in”, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Program Imunisasi COVID-19 Dos Penggalak (PICK-B) telah dimulakan secara rasmi sejak 1 Oktober 2021, di mana sehingga 22 Februari 2022, 14,176,241 dos telah diberikan kepada
individu dewasa yang layak (60.3% daripada penduduk dewasa di Malaysia).
“Orang ramai boleh menyemak PPVdi https://vaksincovid.protecthealth.com.my/find. Kepada yang telah mendaftar, KKM memohon agar anda hadir ke slot janji temu tersebut. Lindungi diri dan orang tersayang. Dapatkan dos penggalak (booster)”, katanya.