Oleh Balqis Jazimah Zahari

KUALA LUMPUR: Kerajaan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu usaha misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Selatan Turki.

Pasukan SMART yang terdiri daripada 75 anggota bertolak ke Turki dengan penerbangan malam semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau melalui panggilan telefon dengan rakan sejawatan Menteri Hal Ehwal Luar Republik Turkiye H.E. Mevlut Cavusoglu, memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri akan menyalurkan sebarang bentuk bantuan mahupun sokongan.

"Saya bercakap dengan H.E. Mevlut Cavusoglu, Menteri Hal Ehwal Luar Republik Turkiye dan menyampaikan simpati dan takziah Malaysia terhadap mangsa dan keluarga serta kepada Kerajaan dan rakyat berikutan gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang melanda Selatan Turkiye berhampiran bandar Gaziantep.

"Semasa panggilan telefon, saya berjaya mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai tragedi itu.

"Kementerian Luar Negeri Malaysia, melalui Kedutaan di Ankara dan Konsulat Jeneral di Istanbul akan terus memantau perkembangan secara dekat selepas gempa bumi," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Zambry berkata, setakat ini beliau mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam gempa bumi itu.

Beliau berkata, sebagai tanda solidariti dan simpati kepada rakyat Turkiye, pasukan dari SMART diterbangkan ke Istanbul pada jam 11.50 malam tadi untuk membantu pihak berkuasa tempatan dalam SAR di kawasan terjejas.

"Sebagai permulaan, kerajaan akan menghantar pasukan SMART bagi membantu usaha SAR mangsa gempa bumi ini.

"Pasukan SMART yang terdiri daripada 75 orang anggota akan bertolak ke Turkiye dengan penerbangan malam ini (malam tadi)," katanya.

Menurutnya, gegaran susulan dijangka berlaku, oleh itu rakyat Malaysia di Turkiye dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini dan nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Katanya, rakyat Malaysia di Turkiye digesa untuk mendaftar dengan Kedutaan di Ankara atau Konsulat Jeneral di Istanbul di butiran perhubungan di Kedutaan Malaysia di talian Ankara: 00 (90-312) 4463 547/4463 548 dan email This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. serta Konsulat Am di Istanbul di talian 00 (90-212) 989 10 01 dan email This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

tamat