IPOH- Empat kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) akan ditempatkan di kawasan berhampiran Terowong Menora bagi usaha meminimumkan kadar kemalangan di lokasi berkenaan.

Penambahan kamera AWAS dikedua-dua arah lebuh raya itu, dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, kerja-kerja pemasangan itu bakal dilaksanakan pada penghujung tahun ini.

"Kita sedia maklum kawasan Terowong Monora adalah antara laluan ‘panas’ yang sering berlaku kemalangan maut 

"Aspek teknikal dan spesifikasi pemasangan kini berada di fasa akhir bagi menentukan kesesuaian lokasi yang strategik dengan kerjasama antara JPJ dan PLUS

“Pamasangan kamera ini berdasarkan kepada kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengikut kesesuaian tempat.

"Selain itu, kita telah mendapat kelulusan menteri bagi anggaran had laju bersesuaian di situ iaitu 70 kilometer sejam walaupun had laju lebuhraya adalah 110 kilometer sejam," ujarnya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Stesen Penguatkuasa Unit Pengkuatkuasaan Lebuhraya di Plaza Tol Lama Jelapang baru-baru ini.

Menurutnya, setakat ini terdapat 18 kamera AWAS di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan dan penambahan kamera tersebut akan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 22 kamera.

“Lokasi kamera AWAS adalah kawasan adalah kawasan ‘hotspot’ berlaku kemalangan yang banyak,” katanya.

“Pemasangan kamera AWAS ini jelas menunjukkan kadar kemalangan menurun dan secara tidak langsung menjadi pemerhati terhadap pengguna lebuh raya.

"Sikap pengguna yang merasakan sentiasa diperhatikan akan mewujudkan disiplin diri yang tinggi," jelasnya.