KUALA LUMPUR – Filem-filem lama tempatan termasuk sebelum era kemerdekaan akan ditayangkan semula pada bulan kemerdekaan ini dalam usaha memberikan gambaran tentang wajah sebenar negara pada masa tersebut.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berhasrat untuk menyiarkan filem-filem lama ini bagi menyemarakkab lagi sambutan bulan kemerdekaan Ogos ini. 

Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berkata, pihaknya mungkin bekerjasama dengan sebuah agensi media untuk mendapatkan ruang siaran bagi memulakan satu saluran khas. 

"Kita nak cari balik filem-filem lama. Di situ anak-anak muda, generasi baru kita, malahan saya juga sebenarnya banyak benda yang saya tidak tahu, tetapi kita ada semua itu. 

"Contohnya, macam mana permulaan kita buka Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan), kita tebang pokok, mak ayah kita buat... bahan-bahan itu semua ada (dalam filem-filem lama) dan kita perlu," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program bual bicara di sebuah stesen televisyen tempatan kelmarin.