Kuala Lumpur - Setinggi-tinggi tahniah kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah diatas Penganugerahan Darjah Kebesaran Pingat Panglima Setia Mahkota (P.S.M) yang membawa gelaran "Tan Sri".

Penganugerahan pingat kebesaran itu telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada istiadat pengurniaan hari pertama yang berlangsung di Istana Melawati, hari ini.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, adalah di antara 12 penerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Melalui sebuah portal berita, Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan kurniaan gelaran Tan Sri yang diterimanya hari ini sebagai penghargaan buat semua warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan penjawat awam.

"Penghargaan ini bukanlah untuk saya sahaja malah ianya kepada semua petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang selama ini sentiasa sabar menjalankan tugas dengan baik dan bersiplin.

"Ianya juga melambangkan kepercayaan dan penghargaan Kerajaan kepada penjawat awam," ujarnya.

Turut dianugerah PSM ialah bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor; Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria; Ketua Pegawai Eksekutif The Lotus Corporation Bhd, Datuk R Doraisingam; Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Datuk Ahmad Nizam Salleh; Presiden Kumpulan Sunway Group Berhad, Datuk Chew Chee Kin; Pengarah Urusan Platinum Victory Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Gan Yu Chai dan Pengasas dan Pengarah Urusan SENA Group of Companies yang juga Pengasas dan Pengarah Optimax Holding Berhad, Datuk Tan Boon Hock.