KUALA LUMPUR - Bagi mengelak golongan yang cuba mengambil kesempatan, satu kajian akan dilakukan oleh Kementerian Sumber Manusia mengenai konsep Bekerja Dari Rumah (BDR) yang diamalkan ketika ini.

BDR diperkenalkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersesuaian dengan norma baharu bagi memastikan jentera kerajaan berfungsi walaupun ketika pandemik.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, kejayaan polisi itu sebenarnya banyak bergantung kepada nilai keikhlasan pekerja.

"Kita turut berasa bimbang jika ada pekerja mengambil kesempatan BDR itu sehingga berkemungkinan menjejaskan pula niat baik majikan.

“Meskipun BDR mengurangan kos operasi tapi kita tidak mahu ia mencacatkan usaha kerajaan yang mahu meringankan beban pekerja dan mengekang penularan Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan 365 Hari Pencapaian sempena genap setahun menerajui kementerian berkenaan.

Semalam, kerajaan sedang mengkaji kesesuaian memperluas kemudahan BDR bagi sektor awam dan swasta dengan gaji penuh, bagi menjaga ahli keluarga yang uzur dan sakit serta menyokong isteri menjaga anak yang baru lahir.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut bagi menggalakkan tanggungjawab bersama dan membolehkan wanita kekal dalam sektor pekerjaan serta meningkatkan produktiviti kerja golongan tersebut.

Kerajaan juga katanya mengkaji jika kemudahan BDR itu dapat dipanjangkan kepada wanita atau lelaki yang kematian pasangan, bagi membolehkan mereka menguruskan perkara berkaitan.

Ini kerana urusan kematian lazimnya memerlukan masa yang agak lama untuk diselesaikan.