KUALA LUMPUR – Awas! Tiada lagi tempoh berlembut dengan mereka yang melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana sesiapa yang engkar akan dikenakan kompaun RM10,0000 yang berkuat kuasa hari ini.

Tindakan tegas itu adalah susulan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan pada pukul 12.01 tengah malam tadi.

Ini bermakna, setiap notis kompaun yang dikeluarkan adalah bernilai RM10,000 sekiranya didapati bersalah melanggar prosedur operasi standard (SOP) namun jumlah tersebut bergantung kepada budi bicara Pegawai Kesihatan Daerah(PKD).

Ketika mengumumkan perkara tersebut, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan nilai kompaun yang sebenar dan hanya diberi kuasa untuk mengeluarkan notis.

Justeru tegas beliau, hanya PKD yang boleh menawarkan jumlah kompaun yang dirasakan bersesuian dengan kadar sehingga RM10,000.

“Keputusan ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa Covid-19 ini masih wujud dan akan memudaratkan ramai orang sekiranya tidak mematuhi SOP.

“Individu yang dikenakan kompaun ini juga akan diberi tempoh selama dua minggu untuk membayar kompaun tersebut dan rayuan nilai kompaun juga boleh dibuat kepada PKD dalam tempoh itu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, keputusan menaikkan nilai kompaun itu bukan untuk menghukum orang ramai secara berlebihan atau membolehkan kerajaan mengutip wang daripada orang ramai.