KUALA LUMPUR – Bagi golongan yang jenis ringan jari dan gemar menyebarkan berita palsu, nampaknya mereka perlu berfikir banyak kali kerana kesalahan berbuat demikian kini boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.

Bermula hari ini, mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu berkaitan Covid-19 dan proklamasi darurat boleh dikenakan denda sebanyak itu selain hukuman penjara.


Hukuman tersebut diperuntukkan dalam Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No 2) 2021 Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan semalam.


Jika hukuman tersebut tidak cukup menggerunkan, pesalah juga boleh dijatuhi ‘denda’ lebih tinggi sekiranya kesalahan itu dilakukan berterusan iaitu dengan denda selanjutnya sehingga RM1,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan dibuat.


Turut dinyatakan dalam warta tersebut, mana-mana individu yang tidak melaksanakan kewajipan untuk menghapuskan penerbitan yang mengandungi berita palsu, apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000.


Jika berterusan, mereka boleh didenda RM3,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan berterusan selepas sabitan.


Tiap-tiap kesalahan di bawah ordinan tersebut juga adalah kesalahan yang boleh dikenakan tindakan ditangkap.