PETALING JAYA – Semua acara bersempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jun ini ditangguhkan.

Ia berikutan peningkatan kes Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, keputusan itu dibuat atas titah perkenan baginda setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan umum untuk melindungi nyawa rakyat.

“Perkenan ini juga sebagai langkah perlindungan kerana negara masih lagi menghadapi dan memerangi penularan wabak Covid-19 sekali gus demi mengelakkan krisis kesihatan yang lebih buruk.

“Kesemua acara ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan rasmi di laman Facebook Istana Negara.

Ini adalah kali kedua semua acara sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda ditangguhkan, bagaimanapun tarikh 7 Jun telah ditetapkan dan diisytiharkan sebagai hari cuti umum.