PUTRAJAYA – Penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama akan dilaksanakan seluruh negara bagi tempoh 14 hari mulai 1 Jun hingga 14 Jun ini.

Perkara tersebut dimaklumkan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri sebentar tadi.

Menurut kenyataan tersebut, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes serta seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat wabak ini.

“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan tersebut pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikannya di sini, petang tadi,” ujar kenyataan tersebut.

Sepanjang tempoh itu, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan MKN.

Dalam masa sama, kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan pantas juga turut mempengaruhi keputusan hari ini.

“Peningkatan kes-kes harian yang menunjukkan trend kenaikan secara lebih mendadak sejak kebelakangan ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19 juga semakin terhad,” menurut kenyataan teesebut.

Sekiranya ‘lockdown’ Fasa Pertama berjaya mengurangkan kes-kes harian Covid-19, kerajaan akan melaksanakan lockdown Fasa Kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.

‘Lockdown’ Fasa Kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir dan langkah seterusnya ialah memasuki Fasa Ketiga dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berkuat kuasa pada masa ini.

“Walau bagaimanapun, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan penilaian dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19.

“Kerajaan akan memastikan sistem kesihatan awam di negara kita tidak akan runtuh dan pelbagai sokongan serta bantuan akan diberikan kepada KKM untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara.

“Pada masa sama, kerajaan berusaha meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti kelompok di negara ini.

“Susulan keputusan kerajaan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan dan pengumuman pakej bantuan berkaitan akan dibuat dalam masa terdekat,” jelas kenyataan tersebut.