PETALING JAYA – Selepas beroperasi selama lebih lima tahun, perkhidmatan bas Rapid Kamunting di Perak akan ditamatkan perkhidmatan bas pada 15 Jun ini.

Rapid Kamunting merupakan inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan melalui kerjasama dengan Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Majlis Perbandaran Taiping dan Prasarana.

Perkhidmatan anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) ini melibatkan tiga laluan iaitu Laluan 10 (Taiping Loop), Laluan 20 (Jejak Warisan Loop) dan Laluan 30 (Bukit Jana ke Kampung Boyan).

Rapid Bus dalam satu kenyataan berkata, langkah itu diambil kerana kekangan dana dan permintaan rendah bagi perkhidmatan bas sejak awal perkhidmatannya.

“Sokongan dan dana daripada NCIA telah tamat pada Februari 2019. Selepas penamatan pemberian dana dan kontrak tersebut, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri tidak menyatakan minat untuk meneruskan perkhidmatan Rapid Kamunting.

“Bagaimanapun Rapid Bus telah meneruskan komitmennya untuk menyediakan kemudahan pengangkutan awam walaupun terus mengalami kerugian,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Rapid KL.

Tambahnya, Rapid Kamunting tidak terkecuali menerima impak Covid-19 dengan kemerosotan jumlah penumpang iaitu hanya 30 peratus dan keadaan yang semakin meruncing itu menyebabkan kesukaran untuk menampung kos operasi.

Menurutnya, ia bukanlah keputusan yang mudah dan telah dibincangkan pada peringkat tertinggi bersama kesemua pemegang berkepentingan Rapid Bus.

“Rapid Bus memohon maaf kepada pelanggan setia Rapid Kamunting di sekitar Taiping dan Kamunting kerana terpaksa mengundur diri.

“Kami juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih di atas sokongan semua pelanggan kami dan juga atas sumbangan kakitangan Rapid Kamunting selama ini,” jelasnya.