KUALA LUMPUR -  Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor hari ini membenarkan Nur Sajat, usahawan kosmetik kontroversi, diberi notis kebankrapan melalui penyampaian ganti menerusi notis iklan dan penampalan.

Arahan susulan kegagalan Nur Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman membayar jumlah penghakiman sebanyak RM200,000 kepada bekas stokis utama dalam bengkung dan girdle milikya.

Peguam OWA Resources, Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili kedua-dua plaintif, Nurwati Hussin, 41, dan Mohammed Syakir Hussin, 32, berkata, penyampaian notis itu selepas anak guamnya tidak dapat menjejaki lokasi sebenar defendan.

Ujarnya, notis iklan dan notis tampal telah pun dibuat minggu ini dan pihaknya belum menerima sebarang affidavit membantah notis kebankrapan itu oleh Nur Sajat.

"Oleh itu, kami telah mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menyerahkan notis secara iklan dan menampal notis di mahkamah dan di depan rumah defendan (Nur Sajat).

"Tahun lepas, anak guam berjaya membekukan akaun bank defendan tetapi hanya memperoleh RM5,000 iaitu baki terkini akaun tersebut melalui tindakan garnisi terhadap kesemua akaun defendan.

"Berikutan kegagalan defendan membayar penghakiman mahkamah, anak guam tiada pilihan lain melainkan membankrapkan defendan," katanya.

Mengikut penghakiman Mahkamah Rayuan pada April lalu, Nur Sajat gagal dalam rayuannya bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan usahawan itu membayar ganti rugi sebanyak hampir RM200,000 kepada OWA Resources.

Akta Insolvensi 1967 membenarkan prosiding kebankrapan dimulakan ke atas mana-mana individu yang gagal membayar penghakiman melebihi RM100,000. 

Difahamkan, pihak Muhammad Sajjad ada membuat cadangan awal bulan ini untuk membayar ganti rugi tersebut secara ansuran sebanyak RM3,000 sebulan sehingga selesai pembayaran penuh tetapi pihak plaintif tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. 

Nur Sajat sebelum ini menjadi buruan selepas dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah selepas gagal hadir sebutan semula kes berhubung dakwaan menghina Islam.

Nur Sajat dipercayai berada di luar negara, namun kedudukan sebenarnya tidak diketahui.