IPOH – TAHNIAH. Kejayaan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menewaskan lawannya, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan pasangan Indonesia diraikan seluruh rakyat apabila akhirnya menjelmakan sebutir pingat Olimpik untuk negara.

Lebih manis, kemenangan itu turut menyaksikan Aaron-Wooi Yik berjaya menebus kekalahan kepada gandingan No.2 dunia itu dalam saingan peringkat kumpulan sebelum ini.

Disaksikan jutaan rakyat Malaysia di kaca televsyen, kejayaan beregu negara merangkul pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 ini merupakan kemenangan yang sangat dinanti-nantikan pada temasya tersebut.

Pada aksi penentuan pingat gangsa yang berlangsung di Musashino Forest Sports Plaza itu malam tadi, mereka menampilkan aksi cukup bertenaga untuk mencatat kemenangan 17-21, 21-17, 21-14.

Untuk rekod, keputusan tersebut merupakan kemenangan kedua yang dilakar Aaron-Wooi Yik ke atas Ahsan-Setiawan selepas mereka bertemu sebanyak sembilan kali termasuk aksi di pentas Olimpik ini.
Kejayaan itu juga menyaksikan beregu No. 9 dunia itu meneruskan legasi sukan badminton negara untuk membawa pulang pingat sejak tahun 2008.

Malaysia meletakkan sasaran tiga pingat menerusi badminton, terjun dan berbasikal trek dalam edisi kali ini, dengan salah satu daripadanya adalah emas.

Terdahulu, Aaron Chia-Wooi Yik melakar kejutan mara ke separuh akhir apabila mengatasi beregu No. 1 dunia Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon dari Indonesia menerusi kemenangan 21-14, 21-17.