PUTRAJAYA - Sebanyak 22 lokaliti di Perak akan berakhir Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) lebih awal sehari iaitu esok berbanding yang dijadualkan.

Antaranya Taman Melor Fasa 1 di Daerah Hilir Perak serta Kampung Batu 19 ½ dan Kampung Batu 20 di Mukim Batu Kurau.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, turut terlibat ialah kawasan di Mukim Bidor meliputi Taman Awam 3 Bidor, Taman Permata Bidor, Taman Sri Bidor, Taman Bidor Jaya, Kampung Cegar Tambahan dan Kampung Cegar.

"Selebihnya di Mukim Batang Padang iaitu Taman Tapah, Taman Bunga Raya, Kampung Datuk, Taman Sri Tapah, Kampung Baru Kampung Pahang dan Kampung Tanah Mas.

"Lokaliti lain ialah Taman Sri Damai 1, Taman Sri Damai 2, Taman Sri Asoka, Kampung Batu 5 Tapah Road, Kampung Batu Melintang, Taman Tapah 2 dan Kampung Baru Pekan Getah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu kata beliau, seramai 235 individu diberkas dengan 207 daripadanya dikompaun manakala 28 lagi direman kerana melanggar
prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) semalam.
 
Jelas Hishammuddin, sejumlah 59 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan juga diarahkan tutup kerana didapati masih ingkar SOP.
 
“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah memeriksa 1,761 kilang, 13,064 premis perniagaan, 448 tapak pembinaan dan 258 asrama penempatan pekerja.

"Seramai 678 individu tiba di tanah air semalam dengan jumlah kumulatif seramai 261,118 diarahkan menjalani proses mandatori itu sejak 24 Julai 2020 lalu," katanya.