PUTRAJAYA – Bermula minggu depan, golongan warga emas yang masih belum menerima suntikan Covid-19 kini tidak perlu lagi menunggu lama apabila mereka boleh mendapatkan vaksinasi secara datang terus atau ‘walk in’.

Ini berikutan inisiatif pelaksanaan vaksinasi secara konsep ‘walk-in’ bagi warga emas ini akan diperluaskan ke seluruh negara.

Pelaksanaan program itu diputuskan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) pada mesyuarat hari ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, CITF negeri diberi kuasa untuk menentukan tarikh pelaksanaan dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terbabit.

Beliau berkata, inisiatif itu khusus bagi warga emas yang belum menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19.

“Saya difahamkan ada negeri sudah memulakan inisiatif itu dan ada negeri yang sudah bersedia untuk melaksanakannya,” katanya pada sidang akhbar mingguan CITF hari ini.

Sebelum ini, konsep sama pernah dilaksanakan di Lembah Klang dimana warga emas yang belum menerima vaksin boleh pergi ke mana-mana PPV untuk suntikan dos pertama.